Wednesday, October 22, 2008

Ahli Pas Diingatkan Jangan Leka

MELAKA, 22 Okt (Hrkh) - Ahli-ahli dan para penyokong PAS diingatkan jangan lalai dan terleka dengan percakaran yang berlaku di dalam Umno menjelang berlakunya permilihan kepimpinan parti tersebut Mac 2009 kerana mereka tetap akan bersatu apabila menentang PAS.

Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, pergaduhan dan percakaran yang berlaku di dalam Umno kini janganlah menyebabkan ahli-ahli PAS terleka dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab bagi meneruskan perjuanganan Islam.

"Kita jangan dok seronok sangat bila puak Ali Rustam bergaduh dengan geng Muhyidin, Mahathir dengan Pak Lah dan jangan dok harap mereka bergaduh kita nak lena saja.

"Puak-puak ini berlawan untuk rebut jawatan tapi bila berdepan dengan kita mereka bersatu itu sebab kita kena ambil iktibar dari peperangan Ahzab yang kita bawa semangat tersebut ketika menyambut kemenangan Aidilfitri," katanya ketika menyampaikan ceramah sempena majlis hari-raya PAS Kawasan Kota Melaka, baru-baru ini.

"Bekas Perdana Menteri Indonesia, Pak Natsir yang pemimpim parti Islam Masyumi pernah mengatakan walaupun kita lihat blok komunis diwakili Rusia dan blok barat yang diwakili Amerika bertelagah di peringkat antarabangsa tetapi apabila berlawan dengan Islam mereka kembali bersatu," tambahnya.

Selanjutnya, beliau menjelaskan bahawa PAS terus relevan sehingga hari ini dan hari kiamat nanti kerana mempunyai prinsip Islam berbanding Umno yang boleh kekal ketika ini kerana masih lagi mempunyai sisa pemerintahan di Putrajaya.

"Kita sudah lama menjadi pembangkang boleh bergerak melakukan pelbagai aktiviti, membina markas sendiri dan berceramah walaupun belum memerintah.

"Umno kalau sudah tidak memerintah lagi dia tentu tidak boleh bergerak kerana dia tak ada tempat nak jalankan mesyuarat, contohnya di Selangor baru-baru ini terpaksa diadakan mesyuarat Umno di kedai jual tempe," kata beliau

Saturday, October 4, 2008

Dasar Pas Ialah Islam .. Dasar UmNo ???

Kata-kata yang disuarakan oleh Presiden MIC yang berbunyi, "Cadangan menggabungkan semua parti yang bersifat perkauman ini sesuatu yang sukar dilaksanakan." (Berita Harian 30 September 2008).

Benar sangatlah kata-kata ini. Sampai bila pun cita-cita penggabungan, permuafakatan dan penyatuan akan menjadi kata-kata jinak buat pameran semata-mata. Bertolak dari sentimen perkauman yang taksubkan bangsa; Umno dengan ke-Melayuannya, MCA dengan ke-Cinaannya dan MIC dengan ke-Indiaannya, maka seruan konsep permuafakatan dan tolak ansur BN tidak membawa erti apa-apa.
2. Begitu juga dengan kata-kata Naib Presiden MCA, Dato' Donald Lim dan harapan seorang lagi Naib Presiden MCA, Dato' Ong Tee Keat di hari yang sama dalam akhbar yang sama.

Masing-masing menganggapkan ia idea yang baik tetapi apakah sentimen perkauman yang selama ini dipupuk dan dibajai oleh masing-masing parti komponen parti dalam BN boleh menumbuhkan sikap yang berkompromi dalam semangat persaudaraan yang murni dan tinggi? PAS meletakkan titik persaudaraan tanpa mengira perbezaan bangsa dan suku kaum. Teras bicara kita ialah kita semua daripada keturunan yang satu yakni Adam dan Hawa. Semua orang adalah sama melainkan perbezaan maqam dan nilai mulia atau hinanya seseorang itu terletaklah diatas ukuran taqwa.

Dengan menggunakan "parameters" ini, PAS mempunyai seluruh potensi dan kekuatan yang ada untuk bertindak sebagai parti penyatuan rakyat. Di atas pentas Islam inilah juga PAS sedang diterima dengan baik sebagai pilihan kepada Umno/BN. Jika mahu dilihat masih relevan, inilah saat yang memerlukan Melayu dalam Umno datang dan memasuki PAS. Dalam "mood" penggabungan yang sedang ghairah diterima oleh pemimpin komponen di dalam BN, tentu sekali langkah untuk memartabatkan ketuanan Islam adalah suatu yang amat menepati masa.
3. Pemimpin Umno perlu ingat bahawa bila Umno kekal dengan ketuanan Melayunya, pemimpin MCA pun boleh bercakap tentang ketuanan Cinanya.

Begitulah juga dengan MIC dan Gerakan dengan khayalan ketuanan masing-masing. Dalam keadaan begini, perkataan penggabungan dan permuafakatan ke arah Integrasi Nasional hanyalah gimik dan fatamorgana. Ia retorik dan sapuan gincu yang tidak mempunyai nilai apa-apa. Sepatutnya inilah saat Umno meninggalkan ketuanan Melayu. Tidak sudah dengan terus berpegang kepada faham kebangsaan lapuk kerana ia hanya menganjurkan perkauman. Di akhirat nanti, tiada harga berupa pahala untuk dinikmati oleh mana-mana pejuang bangsa. Di sinilah Islam meletakkan hujah bahawa ia agama penyatuan. Ia agama yang tidak mementingkan bangsa dan semangat kebangsaan. Bahkan ia suatu agama yang menerima prinsip kewarganegaraan berasaskan semangat keantarabangsaan.

Ia agama sejagat yang menyatukan anugerah bangsa yang berbeza-beza dan bukan memecah belahkan orang diatas jalur-jalur kebangsaan. Menjadi umat Islam ialah menjadi hamba Allah yang menjadi hamba kepada "tuan punya" kepada langit dan bumi ini terlebih dahulu.
4). Lantaran itu Islam sangat mementingkan hujah. Firman Allah S.W.T yang bermaksud, "Katakanlah: "Allah", dan sesungguhnya kami atau kamu (orang-orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang nyata. (Surah Saba' : Ayat 24).

Di sini, roh kebenaran Islam cukup jelas iaitu setiap sesuatu itu wajib disandarkan kepada fakta dan hujah. Jika Umno mempunyai hujah untuk mempertahankan kebangsaan Melayu sebagai asas penyatuan, maka mereka bolehlah mengemukakan segala fakta dan segala alasan.

Akan tetapi, setakat yang dapat disaksikan, perjuangan Umno yang hujahnya kebanyakannya dibina di hujung keris dan tombak Melayu itu tidak memberi bekas dan membawa faedah kepada sejarah dan masa depan bangsa dan negara. Tiada signifikan apa-apa. Apa yang jelas dapat disaksi rakyat hanyalah perpecahan, disintegrasi, korupsi, curiga, dengki, benci dan dendam. Cinta,rindu dan simpati antara kaum semakin tandus dari takung kalbu kehidupan.

4. Sudah sepanjang 50 tahun sikap curiga antara kaum semakin tajam. Jika sedikit masa dahulu masyarakat Cina pernah melahirkan Dato' Lee Kim Sai, kini Umno pula melahirkan Dato' Ahmad bin Ismail.

Ini menunjukkan jalan ke hadapan untuk Malaysia cukup buntu selagi Umno tidak berubah. Maksud saya di sini ialah Umno perlu berubah dan kembali kepada Islam. Bukan PAS lagi yang masuk Umno tetapi Umno yang mencari dan memasuki PAS. Bermukabalah ke arah kembali kepada Islam - hanya inilah penyelesaian yang ada di hadapan kita. Jika tidak, Umno cuma mahu mengelirukan keadaan.
Umno hanya mementingkan survival dengan memainkan sentimen perkauman yang sensitif ini demi menyelamat dan menyambung kelangsungan hayat pemimpin mereka. Begitulah terkini dan trend Umno selama-lamanya. Sesungguhnya, hampir semua orang tahu yang dia kini sedang bernafas dalam nyawa-nyawa ikan.
Ada orang kata, lagi dua minggu dan ada pula yang lebih yakin bahawa sesuatu akan berlaku pada 13 haribulan. Sayapun tidak sangat mahu ambil tahu tentang tarikh-tarikh ini. Apapun,sambil melihat budak-budak bermain bunga api, elok juga kita sama-sama saksikan. Ah, sepanjang-panjang tali; masakan tidak berhujung?

Perutusan Yang Dipertua Pas Kawasan Jasin Melaka

Assalamualaikum.

Kita panjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana diberi nikmat iman dan Islam serta dipanjangkan umur sehingga kita berjumpa sekali lagi Ramadhan.Saya selaku Yang Di Pertua PAS Kawasan Jasin ingin merakam ucapan Selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri kepada semua muslimin dan muslimat khususnya ahli-ahli PAS di Kawasan Jasin.Kejayaan kita menempuh sebulan dalam bulan Ramadhan sudah tentu menguatkan lagi azam untuk mengukuhkan lagi PAS kawasan Jasin seterusnya memertabatkan kemuliaan Islam di bumi Melaka.Di kesempatan ini juga saya menyeru kepada semua muslimin dan muslimat supaya kita meninggalkan perjuangan asabiah kebangsaan yang sesat lagi menyesatkan dan kita kembali ke jalan Allah dan berpegang teguh dengannya Mudah-mudah madrasah Ramadhan yang kita tinggalkan akan membentuk peribadi Muslim yang diredai Allah.Sekian,Selamat Hari Raya maaf zahir dan batin.Wassalam

MEJAR (B) HJ JASME BIN TOMPANG
YDP PAS KAWASAN JASIN

Perutusan Ketua Dewan Pemuda Pas Jasin


Allahuakhbar, alahhuakhbar, allahuakhbar, walillahilham

Dengan nama allah yang maha pengasih lagi penyayang. Segala puji bagi Allah tuhan sekelian alam . Selawat dan salam keatas junjungan besar nabi kita Muhammad s.a.w, ahli keluarga dan pengikutnya.Sempena kehadiran bulan kemenangan bagi umat islam setelah mengekang nafsu selama sebulan marilah kita sama sama menyambutnya dengan penuh kesyukuran. Perbanyakanlah tasbih , tahmit dan tahlil sebagai bukti kita telah lulus ujian ramadhan. Tinggalkanlah amalan jahiliah seperti memasang pelita, menggalakan anak-anak bermain bunga api, menghias rumah dengan berlebihan . Teruskan lah syawal ini ibadah seperti puasa sunat enam hari dan sebagainya.Tradisi bermaaf maafan serta kunjung mengunjung haruslah disemarakan kembali. Saya khuatir bila setiap kali menyambut perayaan, semua saluran TV akan menyiarkan pelbagai program hiburan , ini menyebabkan anak –anak (juga orang tu) lebih seronok menziarah TV dari menziarah sahabat handai. Ambillah kesempatan ziarah menziarahi ini dengan menyematkan mesej dakwah dan penerangan islam.Selaku ketua DPPKJ dan seluruh ajk pemuda kawasan, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat hari raya, maaf zahir dan batin. Tidak saya lupakan kepada semua pengundi di DUN Sungai Rambai yang telah memberi sokongan kepada saya , begitu juga buat isteri , anak anak dan keluarga.Akhirnya marilah kita sama sama berdoa agar apa yang kita usahakan sepanjang ramadhan lalu diterima oleh allah dan segala dosa dan kesalahan kita diampunkannya.Pertingkatkan usaha mencapai kemenangan, pertahankan kemenangan. Selamat hari raya idulfitri , maaf zahir dan batin.

AMINUDIN BIN ABD JALIL

KETUA Dewan Pemuda Pas Jasin

Perutusan Ketua Dewan Muslimat Pas Jasin

Assalamualaikum,
Segala puji bagi Allah,Tuhan semesta alam.Selawat dan salam ke atas junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W dan ke atas keluarga,para sahabat serta seluruh pejuanag Islam di sepanjang zaman.Alhamdulillah sekali lagi kita diberi kesempatan bertemu di bulan Syawal yang mulia ini semoga ia lebih bermakna bagi kita setelah melalui madraah Ramadhan yang mencabar.Jadikan ia sebagai penyuntik roh jihad dalam diri kita untuk melakukan perubahan dan daya juang.Di kesempatan bulan yang yang mulia ini juga kita panjatkan doa ke hadrat Ilahi agar membantu dan mengukuhkan keimanan pejuang-pejuang agar diberi kemenangan.Insyallah kita akan terus berusaha dengan lebih kuat untuk kemenangan Islam.Akhir sekali saya selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Jasin serta AJK ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Adilfitri dan maaf zahir batin.

HJH SAPIAH BTE AHMAD

KETUA DEWAN MUSLIMAT PAS KAWASAN JASIN

Perutusan ketua Dewan Pemuda Pas Melaka

Assalamualaikum wrbt, dan salam perjuangan.

Saya merafa'kan kesyukuran kehadrat Allah swt dengan limpah kurnianya kita sekali lagi dapat bertemu dengan Idul fitri al mubarak setelah selesai kita menjalani sebulan ibadat puasa yang begitu mencabar. Mudah - mudahan madrasah Ramadhan yang kita lalui menjadikan kita orang - orang yan g bertakwa seperti mana yang dikehendaki oleh Allah swt. Sesuai dengan laungan takbir bagaikan satu simbolik tanda kemenangan kita menewaskan nafsu serakah dan syaitan yang dilaknati. Justeru, marilah kita gunakan kekuatan dan semangat Ramadhan tersebut untuk mengorak langkah menerjah musuh yang bertuhankan nafsu. Tiada ertinya insan yang berpuasa kembali semula menurut runtunan nafsu dan syaitan.

Saya mengharapkan agar Kita jangan lalai dan alpa dek kemeriahan hariraya dengan meminggirkan perasaan insaf terhadap saudara seagama diserata dunia, Afghanistan, Iraq, Khasmir, Darfur, Palastine dan lainnya yang sinonim rakyatnya dengan pembunuhan, kebuluran dan kemiskinan. Mereka berhariraya tanpa perasaan gembira. Nasib mereka tidak dibela walau pun saudara seagama diserata dunia. Pemimpin negara umat Islam sibuk menghitung harta, memakmurkan ekonomi dan mencipta mahligai kemegahan. Saudara seagama dianggap bukan tanggung jawab bersama. Musuh besar Amerika semakin bermaharaja lela meratah umat. Justeru, berdoalah kita kepada Allah swt. agar mereka dibebaskan dari bencana tersebut. tidak ketinggalan juga saudara - saudara kita yang masih ditahan dibawah akta zalim ISA, diharapkan kita dapat menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa.

Dikesempatan hari yang mulia ini, saya mewakili barisan exco Dewan pemuda PAS Negeri Melaka mengucapkan SELAMAT HARI RAYA IDUL FITRI WA KULLU 'AMIN WA ANTUM BIL KHIAR, juga memohon kemaafan di atas kesilapan yang dilakukan. Mudah - mudahan hari raya kali ini diberkati dan begitu bermakna buat kita semua.
Sekian wassalam.....
Takbir! Takbir! Takbir!

Kamarudin bin Sidek

Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Melaka

Semua manusia seluruh dunia adalah "adik-beradik

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Hrkh) - Semua manusia seluruh dunia adalah "adik-beradik sebenarnya" tidak kira bangsa sama ada Arab, Melayu, Cina, India, Amerika atau Orang Asli kerana semua mereka adalah adalah anak cucu Adam a.s dan Hawa, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam perutusannya sempena Eidulfitri. "Tidak ada lebihnya bangsa Arab berketurunan Nabi Muhammad s.a.w dengan kaum Orang Asli kecuali hanya dengan taqwa kepada Allah, sujud kepada Allah Tuhan yang Maha Meliputi sekelian alam.

"Sumber hidup keseluruhan ini adalah anugerah Allah s.w.t. Ia tidak dapat dijual dan tidak dapat dibeli," kata Menteri Besar Kelantan itu. Begitu juga, kata beliau, dengan pelbagai bulan di dalam taqwim di mana dalam bulan mana dan ketika mana sekalipun, hidup manusia sarat dengan perhambaan kepada Allah s.w.t."Sebenarnya, baik dalam bulan mana dan ketika mana sekalipun, hidup kita ini sarat dengan pelbagai aktiviti perhambaan. Kita mengabdikan diri kepada Allah dalam segenap keadaan.

"Menyambut Hari Raya pun adalah merupakan ajaran agama. Makan minum, berpakaian cantik, suka-ria di hari raya sama ada Eidulfitri atau Eiduladha; semuanya itu adalah ajaran agama."Teriak tangis di waktu dinihari, sedu-sedan sebelum subuh meminta diampunkan segala dosa, diselamatkan dari godaan nafsu dan sabar menghadapi segala karenah manusia baik mukmin, fasik, kufur dan lebih-lebih lagilah yang munafik; pun adalah ajaran agama," kata Tuan Guru.

Begitu juga, katanya, dengan kesedaran terhadap lafaz berbunyi: "Ya Allah mujurnya ada ajaran-Mu dan puasnya hatiku mendengar nasihat Nabi-Mu yakni Muhammad s.a.w.?"Semuanya ini berupa pengabdian," katanya lagi.Beliau mengucapkan kesyukurannya kepada Allah yang telah mendatangkan lagi Ramadhan "untuk kita menghirup udara kerahmatan, keampunan dan maghfirah yang sangat mulia".Lebih penting dari itu, katanya, adalah kesedaran untuk mengambil kesempatan keatas janji-janji gandaan pahala yang ditawarkan oleh-Nya."Dengan segala kesedaran dan isi kandungan kesyukuran seperti yang kita sebutkan ini, izinkan saya mengucapkan Selamat Hari Raya. Maaf jua seadanya," kata Tuan Guru